TIPS RENANG: Kenapa Takut Air?

Manusia dan air, tak kira dewasa mahupun kanak-kanak, ramai yang tiada masalah untuk mencecahkan kaki dan memasukkan tangan ke dalam air. Tapi masih ramai yang tidak berani untuk memasukkan muka ke dalam air. Kenapa orang yang dewasa sekalipun takut untuk memasukkan muka di dalam air, hatta air yang separas lutut saja?

Jawapannya adalah hidung dan mulut. Kedua-dua organ ini yang diperlukan semasa proses pernafasan. Selain dari hidung dan mulut, mata dan telinga juga turut menjadi sebab kenapa kita takut untuk memasukkan muka ke dalam air.

Hidung dan Mulut

Kedua organ ini merupakan pintu masuk utama bagi proses pernafasan. Udara yang disedut dari luar akan melalui dan bertemu di saluran pernaafasan yang sama iaitu trakea. Oleh sebab itu, kita boleh bernafas melalui kedua-dua bahagian ini.

Beza hidung dan mulut ini ialah, hidung lebih sensitif terhadap ransangan dari bendasing. Air yang setitis saja dah boleh menyebabkan hidung terasa perit. Manakala mulut tidak sebegitu sensitif macam hidung. Oleh sebab itulah, jika air termasuk dalam mulut, ia tidak menjadi masalah. Jika air masuk ke dalam hidung, ia boleh menjadikan kita agak panik.

Bagaimana untuk mengatasi masalah ini, biasakan diri untuk menarik nafas melalui mulut dan hembuskan melalui hidung. Lakukan perlahan-lahan, dengan tenang. Tarik selama 1 saat, dan hembus lebih kurang 3-5 saat*. Berlatih untuk membiasakan diri dengan cara pernafasan sebegini sehingga kita berasa selesa dalam air.

* Kenapa 3-5 saat?
Secara purata, manusia bernafas sebanyak 12 kali seminit, so 60/12 lebih kurang 5 saat senafas. Tapi untuk yang baru, 5 saat agak lama, jadi 3-5 saat pun ok. Lama2 automatik jadi 5 saat jika dah semakin selesa

Mata

Mata juga agak sensitif macam hidung. Selain berasa perit, mata kita mempunyai refleks yang tinggi terhadap bendasing. Jika ada bendasing yang termasuk dalam mata, secara automatik mata akan tertutup. Tindakan refleks ini akan turut berlaku semasa di dalam air. Ia sebenarnya sebagai perlindungan dari bendasing yang berbahaya.

Kita boleh kurangkan kepekaan terhadap ransangan dengan membiasakan diri untuk membuka mata di dalam air. Walau bagaimanapun, tidak perlu untuk memaksa diri membuka mata, jika keadaan air tidak memuaskan. Gunakan goggle. :)

Kenapa mata perlu dibuka?

Keadan gelap boleh mencetuskan perasaan panik. Bayangkan kita masuk dalam tempat yang gelap. Mesti terasa macam tempat tu sempit, padahal bila bukak lampu, rupanya tempat tu luas. Perasaan macam sempit sebenarnya adalah perasaan cemas dan panik. Jadi bila di dalam air, biasakan diri untuk membuka mata, sebagai salah satu cara untuk membiasakan diri di dalam air.

Telinga

Ramai yang takut masuk air dengan alasan air masuk telinga. Mereka risau kerana memikirkan bila air masuk telinga, maka air pun akan masuk ke bahagian dalam telinga dan boleh menyebabkan pekak atau masalah. Bagi menjawab kemusykilan tersebut, sila lihat gambar di bawah:

>Dipetik dari virtualmedicalcentre.com

Jika kita lihat dari gambar di atas, bahagian dalam telinga tidak berhubung dengan bahagian luar kerana disekat oleh gegendang telinga (ear drum). Disebabkan adanya gegendang telinga sebagai sempadan antara bahagian luar dan dalam, air tidak dapat masuk ke bahagian telinga dalam. Kecuali bagi mereka yang ada masalah pendengaran yang disebabkan oleh gegendang telinga yang pecah, kemasukan air adalah agak mustahil. Bagi mereka yang ada masalah pendengaran, boleh menggunakan ear plug bagi mengelakkan telinga dimasuki air.

Rasa Takut

Perasaan takut itu adalah normal. Kerana kita berada di luar zon selesa. Air adalah persekitaran yang baru nak diteroka. Dalam air, kita akan melihat, merasa, mendengar sesuatu yang berbeza. Perbezaan dan ketidakbiasaan inilah yang membuatkan kita takut dan panik.

Untuk menghilangkan rasa takut terhadap air, kita kena biasakan diri dengan air. Untuk membiasakan diri dalam persekitaran air, kita harus berada dalam air. Bukan setakat lihat dari permukaan sahaja. Bukan jugak setakat berdiri dalam air, tapi masukkan muka dalam air. Nikmati perbezaan, ketenangan dan rasa semasa dalam air. Yang penting, kena tenang, tarik nafas perlahan-lahan dan teratur, dan nikmati saat-sat yang merelakskan tu. Jangan nanti ketagih pulak! :)

Pesanan

Jika ingin mula berenang, paling penting sekali untuk kita berasa selesa dalam air. Selagi kita tidak selesa dan ada perasaan panik semasa berada dalam air, itu adalah rintangan pertama yang perlu diatasi. Selagi takut, selagi tulah kita tak dapat nak mula berenang. Banyakkan latihan dan biasakan diri, bernafas, buka mata, dan bermain-main dengan air.

Tapi jangan samakan takut pada air, dengan perasaan takut pada tempat dalam. Ini adalah dua perkara berbeza. Dan secara logiknya, jika tak tahu berenang dengan betul, JANGAN PERGI KE TEMPAT DALAM!!


Share This Post On:



0 says:

Post a Comment